Thursday, May 14, 2009

6 Bulan Bergelar Isteri Mawi, Ekin Masih Di Tohmah!




Bukan mudah bergelar isteri kepada selebriti popular. Itulah yang dirasakan Nora’Asikin Rahmat yang kini telah lebih enam bulan mendirikan rumahtangga dengan penyanyi terkenal negara, Asmawi Ani.






Berkesempatan berbual dengan Ekin baru-baru ini, dia mengakui akan hakikat tersebut. Namun katanya semua cabaran tersebut semakin tenang dilaluinya kerana sudah lali dengan segala tohmahan yang dilemparkan.






Katanya, mujurlah Mawi sebagai suami banyak memberikan nasihat dan tidak mahu dia terlalu memikirkan 'kata-kata orang' tentang kehidupan mereka berdua. Apa yang penting mereka bahagia dan selesa menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri.






"Pada mulanya dulu, saya ingatkan perkara ini hanya akan dilalui semasa saya belum bergelar isteri Mawi dan saya berharap segala-galanya akan berakhir apabila kami berdua mendirikan rumahtangga."Namun tanggapan saya salah kerana selepas lima bulan kami mendirikan rumahtangga dan sehingga kini pun, masih ada lagi kata-kata tohmahan yang dilemparkan oleh segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan saya.






Saya akui masa mula-mula dahulu memang saya rasa tertekan juga. Tetapi bila dah lama-lama rasa macam dah lali dan terbiasa. Kadang-kadang kami berdua ketawa apabila memikirkan semula perkara ini. Saya sedar inilah cabaran yang perlu kami berdua lalui. Setakat ini saya masih mampu untuk mengawalnya dan berdoa agar ianya tidak berlanjutan.



"Selain Mawi yang banyak membantu, keluarga dan rakan-rakan juga tidak jemu-jemu memberikan semangat kepada saya. Saya gembira dan bersyukur kerana kami semakin serasi bersama dan saya selesa menguruskan Mawi yang sememangnya langsung tidak cerewet," ujar Ekin panjang lebar.






Ditanya tentang tanggapan segelintir pihak yang kurang selesa melihat kehadirannya di sisi Mawi setiap kali Mawi muncul di dalam apa jua majlis, Ekin mempunyai sebabnya yang tersendiri.Katanya kebanyakan majlis yang dihadirinya atas dasar jemputan oleh pihak-pihak tertentu dan dia tidak selesa untuk mengabaikan jemputan tersebut begitu sahaja sekiranya dia mempunyai kelapangan.






Selebihnya, dia kini bertindak sebagai pengurus Mawi dan seharusnya dia selalu berada di sisi suaminya itu. Apa yang paling penting Mawi selesa dengan kehadiran Ekin yang disifatkannya dapat mengelakkan fitnah mahupun kata-kata dusta yang dilemparkan kepadanya."Saya tidak pernah mengawal Mawi seperti mana yang diperkatakan. Saya sentiasa memberikan kebebasan kepada Mawi dalam membuat apa sahaja keputusan. Tetapi saya akui di dalam aspek penampilan, Mawi banyak meminta pandangan dan nasihat saya."Namun saya anggap apa sahaja yang diperkatakan oleh orang sekeliling tentang saya dengan Mawi sebagai lumrah sejak mula saya berkawan dengannya lagi. Saya juga sudah lama terlibat dalam industri seni dan sudah terbiasa dengan perihal gosip.




"Tentang dakwaan yang mengatakan saya cuba menumpang populariti Mawi, ia langsung tidak masuk akal. Kalau saya mahu menumpang popularitinya, sudah pasti saya akan berlakon banyak drama atau filem sekarang."Tetapi sampai ke saat ini, saya langsung tidak berlakon. Kalau ada pun saya hanya menjadi duta untuk jenama tudung Ariani dan beberapa produk lain. Saya pun tak rasa diri saya popular apabila bergelar isteri Mawi."






Untuk pengetahuan semua, dahulu saya terlibat dalam bidang seni pun atas kehendak kembar saya, Aein yang mahu saya membintangi drama ‘Kawan’. Jadi semuanya berlaku kerana kebetulan dan saya langsung tak pernah fikir pun soal populariti seperti yang diperkatakan," jelas Ekin.Bercerita tentang kehidupan peribadinya, Ekin memberitahu kehidupannya sama seperti pasangan suami isteri yang lain. Malah katanya dia dan Mawi juga pernah berselisih pendapat dalam beberapa hal tertentu, namun segera diselesaikan agar tidak berpanjangan."Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.






Tetapi sehingga kini kami tak pernah bergaduh yang serius. Kalau ada pun bergaduh 'manja-manja' kerana berselisih pendapat. Selalunya soal berpakaian atau perkara-perkara kecil lain. Tetapi tak sampai lima minit pun, semuanya kembali baik," ujar Ekin sambil tersenyum.Mengenai cahayamata pula, Ekin mengakui selepas mengalami keguguran, dia belum mempunyai tanda-tanda untuk bergelar ibu dalam masa terdekat. Katanya dia mahu beri sedikit masa pada dirinya agar lebih bersedia."Saya sentiasa berdoa agar dipercepatkan mendapat anak dan berharap peminat akan sama-sama mendoakan kebahagiaan kami. Buat masa ini kami masih berusaha," katanya tersenyum.

No comments:

Post a Comment