Thursday, May 14, 2009

Saingan hebat 5 finalis AF7

BEGITU pantas masa berlalu dan tanpa disedari malam kemuncak Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) sudah tiba ke destinasinya.




Malam esok, pentas keramat di Stadium Putra, Bukit Jalil akan menjadi saksi seorang lagi bakat yang dicungkil daripada rancangan realiti popular negara itu dinobatkan sebagai juara untuk diletakkan sebaris bersama enam juara AF yang lain iaitu Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5) dan Stacy (AF6).




Tidak dinafikan, AF7 telah meninggalkan impak yang bukan sedikit sepanjang ia bersiaran biarpun tidak lekang dihambat dengan kontroversi dan menerima kritikan hebat.
Bermula dengan pemilihan pengetua wanita pertamanya, Datin Seri Tiara Jacquelina, ‘penghapusan’ lagu Menuju Puncak di konsert mingguan pertama sehinggalah ke perkataan transformasi.




Semuanya menjadi bahan polemik dan perdebatan hangat oleh semua lapisan masyarakat yang masih lagi mengikuti perkembangan rancangan itu.
Malah, pelbagai ‘drama’ murahan dan jelik terus disajikan pihak Astro dalam usaha mereka untuk menjadikan AF7 sentiasa mendapat tempat di hati pengikut setia rancangan realiti paling popular itu.





Mahu atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa AF masih lagi ditonton oleh peminat setia yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada rancangan terbitan Astro itu.
Berbalik kepada lima finalis yang bertanding untuk merebut juara tahun ini, semuanya mempunyai kekuatan dan keistimewaan untuk diangkat sebagai juara.




Mereka yang dimaksudkan adalah Ismaliza Ismail atau Isma, Mohd. Hafiz Mohd. Suip (Hafiz), Khairil Azam Pilus (Aril), Afiq Hakim Ahmad (Akim) dan Mohd. Yazid Kamal Ibrahim (Yazid).
Tetapi, sudah menjadi adat. Apabila jari menjadi juri, tiada apa yang mampu dikatakan melainkan hanya berpuas hati dengan keputusan yang bakal diumumkan malam esok.
Apa yang penting kini adalah untuk anda sebagai pengundi menjalankan tanggungjawab dengan bijak kerana anda sendiri yang menentukan hala tuju mereka di dalam industri seni tempatan.

No comments:

Post a Comment